DEBAK: Aktiviti ‘nyagang’ ikan buntal bersempena dengan Pesta Ikan Buntal di Kampung Mangut pada hujung Julai depan dijangka menarik 20,000 pengunjung.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata acara ikon di Saribas itu terhenti beberapa tahun ekoran pandemik COVID-19.
“Namun tahun ini kita bersyukur dapat mengadakan pesta itu semula pada Julai. Saya pasti ramai yang rindu dan tertanya-tanya tentang penganjurannya.
“Sehubungan itu, kita pasti tampil dengan tarikan utama iaitu menjaring atau ‘nyagang’ ikan buntal.
“Sepanjang minggu itu nanti, Sungai Saribas akan penuh dengan nelayan yang menangkap ikan buntal. Bukan sahaja nelayan tempatan, tetapi juga nelayan luar yang datang membawa bot untuk menangkap ikan buntal.
“Oleh demikian, kita menjangkakan lebih 20,000 pengunjung akan datang ke Kampung Mangut untuk menyaksikan pesta yang cukup popular itu dengan pengisian utama acara lumba perahu Regata Saribas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2024 Peringkat Bahagian Betong di Rumah Basil, Teraie dekat sini, hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jelasnya, Pesta Ikan Buntal pertama kali diadakan pada Ogos 2002.
“Tahun ini pesta untuk mengangkat potensi ‘yellow puffer fish’ atau ‘lagocephalus lunaris’ itu dianjurkan bersama-sama dengan Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Pusat Khidmat ADUN Saribas, dan turut dibantu oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
“Insya-Allah, komitmen kita untuk memastikan penganjuran tahun ini ditambah baik dengan beberapa pembaharuan, terutamanya dalam acara Regata Saribas, dengan tawaran hadiah yang cukup menarik.
“Begitu juga dari segi pengisian lain, seperti aktiviti ekonomi, kebudayaan, pameran agensi kerajaan dan sebagainya,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu.
Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Adana Jed, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abdul Shamat Kassim, turut hadir sama.



