ARTIKEL

PERASMIAN… Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Kuching 2026 sambil diiringi Datuk Wee Hong Seng di Taman Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), malam tadi.

Pesta Kuching 2026 terus jadi tarikan utama pelancong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pesta Kuching 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara festival komuniti terbesar di Malaysia apabila menghimpunkan lebih 425 gerai makanan, hampir 100 gerai jualan serta pelbagai tarikan keluarga sepanjang penganjurannya di Taman Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata festival yang bermula secara sederhana di Taman Reservoir 40 tahun lalu kini menjadi sebahagian daripada identiti bandar raya Kuching dan terus menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei, Kalimantan, Singapura serta negara lain.

Menurut beliau, Pesta Kuching bukan sekadar pesta makanan, malah menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan, selain menyediakan ruang kepada bakat muda menyerlah menerusi hampir 30 program meliputi sukan, kebudayaan, muzik, pendidikan STEM, aktiviti belia dan kekeluargaan.

Beliau berkata, festival berkenaan turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila menerima 100,000 pengunjung dalam tempoh dua malam pertama penganjurannya, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa orang ramai terhadap acara tahunan itu.

Tambah beliau, pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO turut mengukuhkan reputasi bandar raya ini di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan Pesta Kuching sebagai platform terbaik untuk mempromosikan makanan, hospitaliti, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta identiti unik Sarawak kepada dunia.

UCAPAN… Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Kuching 2026 di Taman Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), malam tadi.

Malah, katanya, festival berkenaan kini semakin mendapat perhatian di peringkat nasional apabila MBKS bakal menerima kunjungan wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada awal Ogos, sekali gus mencerminkan Pesta Kuching kini berkembang menjadi acara yang mempunyai kepentingan di peringkat negara.

“Setiap tahun, keluarga berkumpul di sini, rakan-rakan bertemu semula dan perniagaan tempatan berkembang. Inilah yang menjadikan Pesta Kuching sebagai kebanggaan warga Kuching,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kuching 2026, malam tadi.

Dalam pada itu, Wee berkata, buat pertama kalinya Tuak Corner diperkenalkan pada edisi kali ini bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati bufet tuak serta merasai keunikan minuman tradisional Sarawak dalam suasana yang lebih tersusun dan mesra pengunjung.

Selain itu, mulai minggu hadapan, festival berkenaan akan diserikan dengan persembahan kebudayaan dari Zhengzhou, Quanzhou dan Zhenjiang di China, Asuke dari Jepun serta Guro dari Republik Korea.

Manakala bermula 3 Ogos, bandar raya ini turut menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan UNESCO Creative Cities of Gastronomy yang menghimpunkan delegasi dari 30 bandar.

Pesta Kuching 2026 yang berlangsung di Taman Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dijangka terus menjadi tumpuan orang ramai sepanjang tempoh penganjurannya menerusi pelbagai pengisian yang mengetengahkan gastronomi, kebudayaan dan identiti unik Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU