ARTIKEL

Pesta Pelancongan dan Kebudayaan di Pusat Redeems pada 8 hingga 9 Mei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Pesta Pelancongan dan Kebudayaan yang diadakan di Pusat Redeems, Jalan Apar-Segong, Singai bakal berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Mei ini dengan pelbagai pengisian budaya bagi mengetengahkan keunikan masyarakat Bidayuh di daerah ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, penganjuran tersebut merupakan usaha memperkenalkan adat resam, warisan serta sejarah masyarakat Bidayuh sebagai tarikan pelancongan sempena sambutan Gawai.

Menurut beliau, festival berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Bau, ketua masyarakat dan ketua kampung serta badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Objektif utama adalah untuk memperkenalkan budaya dan identiti masyarakat Bidayuh kepada umum, di samping mengeratkan hubungan komuniti serta merangsang ekonomi setempat melalui kehadiran pengunjung,” katanya pada sidang media Pesta Pelancongan dan Kebudayaan di Pejabat Daerah Bau, di sini hari ini.

Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, antara tarikan utama ialah konsep rumah terbuka yang menampilkan sembilan etnik Bidayuh di Bau iaitu Singai, Jagoi, Bratak, Serembu dan Krokong, selain penyertaan komuniti Cina dan Melayu.

Katanya, setiap komuniti akan menyediakan juadah tradisional masing-masing bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai kepelbagaian makanan tempatan termasuk pilihan halal.

“Konsep ini mengimbau suasana rumah panjang ketika sambutan Gawai dahulu, di mana semua orang boleh masuk, makan dan bergaul tanpa batas,” jelas beliau.

Sepanjang dua hari festival, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai persembahan pentas melibatkan artis tempatan selain persembahan kebudayaan daripada enam kumpulan etnik Bidayuh.

Antara pengisian lain termasuk aktiviti zumba, persembahan muzik secara langsung, pameran serta jualan gerai yang ditawarkan pada kadar sewaan serendah RM120 sehari bagi menggalakkan penyertaan peniaga kecil.

Mengulas lanjut, beliau berkata festival itu turut berteraskan semangat gotong-royong yang menjadi amalan masyarakat Bidayuh, khususnya dalam penganjuran majlis atau ketika menghadapi kesukaran.

“Kita mahu festival ini menjadi platform menyatukan semua komuniti di Bau, bukan sahaja masyarakat Bidayuh tetapi juga kaum lain,” tambahnya.

Beliau menjangkakan kehadiran antara 3,000 hingga 5,000 pengunjung sepanjang penganjuran dengan kemasukan adalah percuma kepada orang ramai.

Tambahnya, festival itu juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat melalui peningkatan permintaan terhadap makanan, penginapan dan perkhidmatan pengangkutan.

Selain itu, majlis makan malam khas bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turut diadakan secara jemputan, manakala pengunjung umum boleh menikmati pelbagai aktiviti di kawasan terbuka.

“Ini lebih kepada sambutan pra-Gawai yang menghimpunkan semua komuniti dalam suasana meriah dan terbuka,” katanya.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU