BAU: Perlumbaan Jong Regatta, acara ikonik yang mengangkat warisan dan keunikan masyarakat di Daerah Bau.
Acara tradisi masyarakat Bau tersebut antara pelbagai acara menarik yang telah dirancang untuk sepanjang 11 hari penganjuran sempena Pesta Tasik Biru 2025, yang berlangsung di pekarangan Tasik Biru.
Pesta Tasik Biru 2025 disusuli dengan perasmian Tasik Biru Resort City bersempena Sambutan Tahun Ke-205 Daerah Bau pada 15 hingga 25 Mei 2025.
Acara itu dijangka dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 15 Mei di Pentas Utama, Tasik Biru Resort City – mercu tanda pembangunan baharu yang berpotensi menjadi pemangkin utama kepada sektor pelancongan, ekonomi tempatan dan pembangunan komuniti di Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata penganjuran Pesta Tasik Biru diadakan secara besar-besaran memberi impak ekonomi kepada penduduk tempatan serta merancakkan industri pelancongan Daerah Bau.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan kemeriahan lampu jambatan Tasik Biru dan persembahan bunga api.
Henry berkata sepanjang tempoh pesta, Gawai Bazaar Bau akan beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11 malam, menampilkan produk kraf tangan, makanan tempatan dan pelbagai barangan komuniti.
“Selain itu, turut berlangsung persembahan hiburan rakyat, busking dan acara pentas yang akan memeriahkan suasana malam di Tasik Biru Resort City.
“Program lain termasuk Karnival Sukan Bau termasuk liga bola sepak, E-sports, badminton, pertandingan gusti lengan, memasak tradisional, zumba, Talent Night serta Miss & Mrs Tasik Biru dan banyak lagi,” katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan ke 205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 & Perasmian Tasik Biru Resort telah berlangsung di Pejabat Daerah Bau hari ini.



