ARTIKEL

Fatimah ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Prosedur Operasi Standard (SOP) Peti Pelindung Bayi Dawn Hope Kuching dan Sesi Konsultasi 'Krisis kepada Prihatin' di Hotel Grand Margherita.

Peti pelindung bayi Dawn Hope alternatif selamat lindungi bayi dibuang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penubuhan Peti Pelindung Bayi (baby hatch) Dawn Hope merupakan alternatif bagi menyediakan tempat yang selamat untuk melindungi bayi yang dibuang.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif berkenaan bukan usaha menyeluruh bagi menyelesaikan isu pembuangan bayi.

“Saya menyambut baik usaha Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) untuk meneroka penubuhan ‘baby hatch’ sebagai satu lagi mekanisme perlindungan bayi yang selamat, terkawal serta berlandaskan prinsip kebajikan dan hak kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kita mesti kekal fokus untuk mencegah isu pembuangan bayi melalui pendidikan, intervensi awal, kaunseling, sokongan kepada wanita dan ibu muda yang berdepan krisis serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial dalam komuniti.

KENANGAN… Fatimah bersama-sama tetamu kehormat lain dan para peserta merakamkan gambar kenangan seusai Majlis Penutupan Bengkel Prosedur Operasi Standard (SOP) Peti Pelindung Bayi Dawn Hope Kuching dan Sesi Konsultasi ‘Krisis kepada Prihatin’ di Hotel Grand Margherita.

“Apa-apa jua pendekatan yang dipersetujui, kepentingan terbaik kanak-kanak mestilah sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Prosedur Operasi Standard (SOP) Peti Pelindung Bayi Dawn Hope Kuching dan Sesi Konsultasi ‘Krisis kepada Prihatin’ di Hotel Grand Margherita di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah bahawa bengkel tersebut penting bagi memberi ruang kepada semua pihak berkepentingan untuk berbincang secara mendalam mengenai inisiatif berkenaan sebelum dilaksanakan, merangkumi aspek operasi, keselamatan, perundangan, kebajikan serta perlindungan kanak-kanak.

“Saya percaya hasil perbincangan dan konsultasi ini akan menjadi asas kukuh untuk membangunkan SOP yang komprehensif, praktikal serta selaras dengan dasar dan keperluan kerajaan.

“Kanak-kanak tidak memilih persekitaran kelahiran mereka. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama keluarga, komuniti, institusi dan kerajaan untuk memastikan hak, keselamatan serta kebajikan mereka sentiasa dilindungi,” katanya.

Sehubungan itu, Fatimah menegaskan bahawa tanggungjawab perlindungan kanak-kanak tidak boleh dipikul oleh satu agensi semata-mata.

“Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk sektor kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Tadbir Urus Yayasan Sime Darby, Datuk Dr Rashidah Bolhassan; Pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr Hartini Zainudin; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin dan Presiden PPIS, Manjeet Kaur.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU