KUCHING: Malaysia bakal memiliki salah satu loji solar terapung terbesar selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan 13 projek baharu dengan kapasiti keseluruhan 1,975 megawatt arus ulang-alik (MWac).
Menurut kenyataan PETRA hari ini, kesemua projek diluluskan di bawah Program Solar Berskala Besar, Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+), rekod tertinggi sejak pelaksanaan program LSS pada 2016.
“Kita menjangkakan pelaburan berjumlah RM6 bilion dan lebih 12,000 peluang pekerjaan baharu dalam industri tenaga boleh baharu (TBB),” kata kenyataan itu.
Program LSS PETRA 5+ dibuka pada Januari lalu melalui Suruhanjaya Tenaga dengan kuota 2,000MWac menerusi bidaan terbuka. Tawaran dibahagikan kepada dua pakej; Pakej 1 untuk loji solar darat (30MWac–500MWac) dengan kuota 1,500MWac, manakala Pakej 2 khusus untuk loji solar terapung (10MWac–500MWac) dengan kuota 500MWac.
Kedua-dua pakej terbuka kepada syarikat dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan tempatan. Proses bidaan menerima 37 permohonan dengan jumlah kapasiti 4,073MW, dua kali ganda melebihi kuota ditawarkan.
Daripada jumlah itu, 13 syarikat berjaya dipilih selepas penilaian menyeluruh, dengan kapasiti keseluruhan 1,975MWac diluluskan. Sejak 2016, program LSS meluluskan kapasiti 4,263MWac dan berjaya melahirkan ramai pemaju tempatan yang mampu menawarkan tarif tenaga kompetitif.
Projek loji solar terapung 200MWac dijangka mula beroperasi antara 2027 hingga 2028, menjadi antara loji solar terapung terbesar di negara ini.
PETRA yakin inisiatif LSS PETRA 5+ akan menyumbang kepada sasaran negara meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050.
Langkah ini selari dengan komitmen Malaysia mengurangkan jejak karbon sektor tenaga elektrik, sejajar dengan prinsip kemampanan Malaysia MADANI.

