KUCHING: Sarawak menyerahkan sepenuhnya kepada Mahkamah Persekutuan berhubung tindakan PETRONAS memfailkan notis usul bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia operasi petroleum di negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau tidak akan mengulas lanjut perkara itu kerana ia melibatkan kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Saya tiada komen. Mereka mahu arahan daripada mahkamah, jadi biarlah mahkamah menentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah PETRONAS memohon penjelasan melalui mahkamah merupakan perkara biasa dan tidak memberi kesan besar buat masa ini.
“Mungkin mereka mahukan penjelasan yang mana pada akhirnya, penyelesaian perlu dicapai,” katanya lagi.
Mengulas kemungkinan keputusan mahkamah menentukan hala tuju hubungan antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Abang Johari menegaskan Sarawak akan mematuhi keputusan kehakiman.
“Semuanya bergantung kepada keputusan mahkamah. Kita (Sarawak) mengikut peraturan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, PETRONAS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan berhubung kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum di Sarawak.
Pihak responden yang dinamakan dalam permohonan tersebut ialah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Permohonan berkenaan difailkan bagi memastikan PETRONAS dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.
Permohonan itu juga tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam sektor tenaga di negeri ini.


