ARTIKEL

Thadeus berucap dalam Program Memacu Kehidupan Gawai “Segulai Sejalai” sempena Gawai Dayak di Rumah Nikolie Nelly, Sungai Serakit, Sebauh, pada Sabtu.

PETRONAS perkukuh jaringan sosial luar bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Program Memacu Kehidupan Gawai “Segulai Sejalai” anjuran PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. Sarawak Asset disifatkan sebagai lambang keprihatinan dan semangat kebersamaan yang wajar dicontohi oleh syarikat korporat lain.

Menurut Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu, program ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada masyarakat sempena sambutan Gawai Dayak, malah mencerminkan bentuk kerjasama strategik antara sektor swasta dan kerajaan dalam usaha memperkukuh jaringan sosial di kawasan luar bandar.

“Pihak Pejabat Daerah Sebauh sentiasa menyambut baik setiap inisiatif yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan rentan dan komuniti pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program tersebut di Rumah Nikolie Nelly, Sungai Serakit, Sebauh, pada Sabtu.

“Sebagai Pegawai Daerah, saya melihat inisiatif seperti ini bukan hanya mengenai penyampaian bantuan semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu, yakni menyampaikan mesej bahawa masyarakat kita tidak diketepikan dan terus diberi perhatian sewajarnya,” ujar beliau.

Seramai 220 keluarga kurang berkemampuan di sekitar Bintulu menerima sumbangan bakul makanan menerusi program berkenaan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan PETRONAS di bawah fokus kesejahteraan komuniti.

Thadeus menyifatkan usaha ini sebagai manifestasi tanggungjawab bersama yang besar maknanya kepada masyarakat.

“Ini bukan usaha kecil. Ini adalah bukti bahawa syarikat besar seperti PETRONAS bukan sekadar pelabur, tetapi tampil sebagai rakan pembangunan komuniti yang prihatin terhadap keperluan sebenar rakyat,” tambahnya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa program seumpama ini akan menjadi asas kepada lebih banyak inisiatif jangka panjang dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi yang bakal memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Nikolie Nelly kerana sudi menjadi tuan rumah dan menyediakan tempat yang selesa bagi menjayakan program tersebut.

“Usaha seperti ini tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak – daripada agensi kerajaan, ketua masyarakat, rakan media hingga ke seluruh komuniti.

“Yang paling penting, kita bersatu dengan satu matlamat iaitu membawa harapan, semangat dan kesejahteraan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU