BINTULU: PETRONAS melalui anak syarikatnya, Malaysia LNG Sdn. Bhd (MLNG) hari ini menyumbang sebanyak 75 unit komputer riba dan 35 unit mesin pencetak kepada Hospital Bintulu dan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.
Sumbangan di bawah program Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina 2024 itu menyaksikan Hospital Bintulu menerima masing-masing sebanyak 45 unit komputer riba dan 20 unit mesin pencetak.

Sementara, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu pula menerima sumbangan 30 unit komputer riba dan 15 unit mesin pencetak.
Simbolik sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming kepada Penolong Pengarah (Pengurusan) Hospital Bintulu, Nor Izzah Marzuki mewakili kedua- dua penerima.
Program Memacu Kehidupan atau ‘Uplifting Lives’ anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) ini merupakan salah satu program tahunan PETRONAS dalam menyantuni masyarakat setempat dan merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berteraskan pembangunan masyarakat dan kesejahteraan.
Terdahulu, Pang bersama-sama tiga Pengurus Besar Malaysia LNG Sdn Bhd, Jamuri Zen, M Fariz B Rose Dee dan Khairul Ariffin Idris meluangkan masa melawat Rumah Bezaleel Yayasan Pengguna Negara Malaysia Bahagian Bintulu.
Dalam kunjungan itu, rombongan diberikan taklimat ringkas mengenai Rumah Bezaleel oleh pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia Bahagian Bintulu, Kapitan Dr. Simon Hong Yu Liing.


