MUKAH: Seramai lebih kurang 60 orang anak nelayan di Pulau Bruit dan Mukah akan kembali ke sekolah pada minggu hadapan dengan beg sekolah dan set alat tulis baharu sumbangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Menurut Petronas dalam satu kenyataan, barangan itu disumbangkan semasa penganjuran program Petronas Memacu Kehidupan: Program Ziarah Nelayan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan baru-baru ini.
Program diadakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang turut menyumbang bekalan bantuan kepada mangsa kebakaran, keluarga yang mengalami kerugian baru-baru ini dan keluarga kurang bernasib baik di kawasan berkenaan.
Penyerahan sumbangan oleh Petronas dan LKIM telah diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, Pulau Bruit pada 19 September dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Sementara itu, penyerahan sumbangan serupa telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine di Kompleks LKIM, Mukah pada 20 September lalu.
Selain itu, seramai 2,300 nelayan di Pulau Bruit dan Mukah turut berpeluang menghadiri ceramah Kesedaran Keselamatan di Laut anjuran Petronas dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu.



