PETROS kawal cari gali minyak, gas Sarawak

Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) diberi mandat melaksanakan aktiviti cari gali minyak dan gas di pesisir Sarawak.

PETROS turut berhak menilai semua permohonan untuk lesen atau pajakan perlombongan yang dijalankan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membentangkan Belanjawan 2020 Sarawak berkata, sebagai permulaan lesen perlombongan darat dikeluarkan kepada PETROS untuk beroperasi di Limbang.

Hak diberikan oleh Kerajaan Sarawak ini termaktub di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).

Hal ini dijangka memberi kelebihan kepada Sarawak untuk mendapatkan bahagian lebih adil daripada industri minyak dan gas yang dijalankan di negeri ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai hak dalam undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan ke atas sumber minyak dan gas yang terdapat di negeri ini.

Abang Johari menubuhkan PETROS pada tahun pertama beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 2017. Ia merupakan langkah awal Kerajaan Negeri terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini.

PETROS memulakan operasi pada suku pertama 2018.