ARTIKEL

PETROS pertimbang langkah undang-undang selanjutnya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan meneruskan tindakan undang-undang selanjutnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016).

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan PETROS berhubung tuntutan tidak wajar terhadap jaminan bank daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak menjejaskan keupayaan PETROS untuk meneruskan tindakan undang-undang selanjutnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah DGO 2016.

“PETROS akan meneliti penghakiman bertulis dengan teliti dan mempertimbangkan langkah undang-undang yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang,” kata syarikat minyak dan gas milik penuh Kerajaan Sarawak itu menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, PETROS menyatakan kes yang diputuskan itu berhubung tuntutan tidak wajar terhadap jaminan bank di bawah Perjanjian Jualan Gas Sarawak (GSA) adalah berdasarkan semata-mata atas alasan teknikal berkaitan jaminan bank tersebut.

Katanya Mahkamah Tinggi Kuching tidak membuat sebarang keputusan mengenai kesahihan asas Perjanjian Jualan Gas Sarawak, dan juga tidak memutuskan merit hujahan perlembagaan berhubung DGO 2016.

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan PETROS untuk mencabar mendapatkan semula jaminan bank berjumlah RM7.95 juta daripada PETRONAS.

Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah dalam prosiding memutuskan tuntutan itu tidak sah dan tidak berperlembagaan, dengan isu yang perlu diputuskan hanya terhad kepada persoalan sama ada tuntutan terhadap jaminan bank itu tidak sah atau menyalahi undang-undang seperti dinyatakan dalam Notis Usul (OS) difailkan PETROS.

Beliau menambah, tuntutan PETRONAS ke atas jaminan bank itu sah kerana selaras dengan terma jaminan bank yang bersifat ‘on-demand’ dan tanpa syarat serta tidak tertakluk kepada sebarang syarat, sekali gus membolehkan ia dituntut melalui permintaan bertulis.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU