ARTIKEL

Jennita William menyerahkan bantuan kepada anak istimewa.

Petros sumbang bantuan pendidikan untuk anak polis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 150 anak-anak Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini menerima Bantuan Kembali ke Sekolah yang disumbangkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Pengerusi PERKEP, Jennita William, berkata sumbangan berupa wang tunai itu diberikan kepada anak asnaf, anak yatim, anak istimewa, anak cemerlang, dan anak-anak yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Daripada jumlah tersebut, 108 penerima merupakan anak-anak pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, dan pegawai awam IPK Sarawak yang sedang melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS.

“Selain itu, 15 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan cemerlang seperti gred A dalam semua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 atau CGPA 3.5 ke atas dalam diploma dan ijazah sarjana muda turut menerima sumbangan.

“Tujuh penerima adalah anak yatim, 11 penerima merupakan anak istimewa, manakala sembilan penerima daripada keluarga yang berkelayakan,” katanya.

Jennita ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kembali ke Sekolah, Apresiasi Anak Cerlang dan Bantuan IPT

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kembali ke Sekolah, Apresiasi Anak Cemerlang dan Bantuan IPT di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak, hari ini.

Tambah Jennita, bantuan tersebut disalurkan oleh Petros pada 3 April 2024 dan direalisasikan melalui inisiatif IPK Sarawak yang komited menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

“Kami ingin memastikan anak-anak yang kurang bernasib baik tidak ketinggalan mendapatkan keperluan untuk kembali ke sekolah pada sesi persekolahan akan datang,” katanya lagi.

Beliau berharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga penerima serta menyuntik semangat anak-anak untuk terus melangkah ke hadapan, mencapai cita-cita, dan menjadi generasi yang berdaya saing.

Jennita turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil menyumbang kepada persatuan demi kebajikan dan pendidikan anak-anak PDRM.

Jennita menyerahkan bantuan untuk pelajar cemerlang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU