PETROS tersenarai 10 syarikat pilihan graduan bina kerjaya

KOTA SAMARAHAN: Baharu sahaja menginjak usia setahun selepas dilancarkan pada 6 Mac tahun lalu, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tersenarai dalam 10 syarikat pilihan lepasan graduan.

Pengurus Negara Jobstreet, Gan Bock Herm berkata, Petros tersenarai dalam 10 syarikat pilihan lepasan graduan untuk membina kerjaya menerusi satu kajian julung kalinya dijalankan.

“Sembilan syarikat yang lain ialah AirAsia, Cahya Mata Sarawak (CMS), Maybank, Naim Holdings Berhad, Petronas, Sarawak Energy Berhad (SEB), Shell, Shin Yang Group of Companies dan Sime Darby Industrial.

“Kajian ini dijalankan secara talian yang disertai oleh 1,125 pencari pekerjaan dalam kalangan graduan Sarawak,” katanya.

TAHNIAH … Gan Bock Herm (enam dari kanan) merakam kenangan bersama 10 syarikat pilihan lepasan graduan di Unimas, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Anugerah 10 Teratas Majikan Pilihan oleh graduan Sarawak di Unimas, di sini, hari ini.

Menurut Bock Herm, majikan yang dipilih oleh para graduan itu berdasarkan peluang kerjaya, minat, kedudukan syarikat dan faktor lain-lain.

“Kajian terbabit dijalankan kali pertama di Sarawak apabila sebelum ini, kami menjalankannya di seluruh Malaysia.

“Malah, dengan kajian ini, para majikan boleh memahami kunci utama kriteria kerjaya yang dicari oleh penduduk Sarawak,” tegasnya.

Tambahnya, kira-kira 1,000 syarikat di Sarawak menggunakan laman web Jobstreet untuk mengiklankan jawatan kosong mereka.

“Kaedah ini akan mendorong lebih ramai rakyat Sarawak yang bekerja di luar untuk kembali bekerja di Sarawak selari dengan dasar Kerajaan Sarawak.

“Secara keseluruhannya di Malaysia, lebih 90,000 majikan menggunakan portal Jobstreet untuk mencari pekerja,” ujarnya.