SARATOK: Pasukan PGA Fighter muncul juara Pertandingan Gasing Pangkah sempena Pesta Saratok 2026 yang berlangsung di Gelanggang Gasing Kenyalang Kampung Tanjung Hulu, di sini, malam tadi.
Kejayaan itu membolehkan PGA Fighter membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta pingat, sekali gus menewaskan 19 pasukan lain yang menyertai pertandingan berkenaan.
Pasukan BAD yang menjadi pencabar utama pada pusingan akhir terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan menerima RM500 berserta pingat.
Tempat ketiga menjadi milik pasukan Pak Aji yang membawa pulang RM400, manakala pasukan 9 Naga di tempat keempat menerima RM300, masing-masing berserta pingat.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik selaku hos penganjuran Pesta Saratok tahun ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan yang mengetengahkan permainan tradisional masyarakat tempatan itu.
Terdahulu, pada majlis perasmian, Friday dan ADUN Kalaka, Mohamad Duri, turut meninjau kemudahan baharu di Gelanggang Gasing Kenyalang Kampung Tanjung Hulu.
Kemudahan tandas di gelanggang berkenaan dibina melalui Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, dan telah siap sepenuhnya.
Kemudahan itu dilihat memberi manfaat besar kepada pihak pengurusan gelanggang serta masyarakat setempat, khususnya ketika penganjuran pertandingan dan program yang melibatkan orang ramai.
Selain itu, lampu solar turut dipasang di kawasan berhampiran gelanggang menerusi pembiayaan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Kerjasama antara wakil rakyat Krian dan Kalaka itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan serta penyediaan kemudahan awam yang boleh dimanfaatkan bersama oleh masyarakat di Daerah Saratok.
Pendekatan berkenaan turut memastikan fasiliti yang terdapat di kawasan sempadan penggunaan kedua-dua kawasan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas oleh masyarakat setempat.



