ARTIKEL

PGA rampas produk sejuk beku tanpa permit bernilai RM11.1 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pengedaran produk sejuk beku tanpa permit sah selepas merampas pelbagai barangan bernilai RM11.1 juta menerusi Op Taring Chiller dalam dua operasi berasingan di Kuching dan Miri pada Rabu.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata dalam serbuan pertama di Kuching, Cawangan Risik Batalion 11 PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun selepas menyerbu dua premis yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku tanpa dokumen sah.

“Pemeriksaan di lokasi membawa kepada rampasan lebih 116,000 kilogram pelbagai jenis produk sejuk beku melibatkan daging babi, ayam dan lembu.

“Turut dirampas ialah peralatan pemprosesan makanan, kemudahan stor sejuk beku serta jentera industri, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM9.59 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim menambah, sementara itu di Miri, Cawangan Risik Batalion 12 PGA menahan dua individu tempatan iaitu seorang lelaki berusia 60 tahun dan seorang wanita berusia 51 tahun dalam serbuan ke atas dua premis berasingan.

Dalam operasi berkenaan, katanya, pihak berkuasa merampas lebih 40,000 kilogram pelbagai produk sejuk beku, dua buah stor sejuk beku dan sebuah jentera forklift.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.55 juta, dan kesemua tangkapan serta barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 9(1), Veterinary Public Health Ordinance 1999,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran makanan tanpa kelulusan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan makanan serta kesihatan pengguna.

Lim turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah dan memastikan kesejahteraan masyarakat.

BERITA LAIN

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian

BERITA TERBARU

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian