KUCHING: Lebih 60 tan produk sejuk beku tanpa permit bernilai RM10.06 juta antara rampasan utama Briged Sarawak PGA hasil 18 kejayaan operasi yang dilaksanakan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh 1 hingga 13 Julai lalu.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar daripada keseluruhan nilai rampasan RM19.96 juta yang direkodkan menerusi pelaksanaan Op Taring Bravo, Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah di beberapa lokasi strategik di negeri ini.
“Operasi yang dijalankan secara berterusan itu memberi tumpuan kepada usaha membanteras pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan serta pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa berkaitan.
“Ia termasuk aktiviti penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, penyimpanan dan pengedaran produk tanpa permit, pembalakan tanpa permit serta kes berkaitan hidupan liar,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Lim berkata, antara kejayaan utama ialah rampasan pelbagai jenis produk sejuk beku tanpa permit di Sibu, Miri, Bintulu, Sri Aman dan Kuching yang membabitkan lebih 60 tan produk ayam, daging babi, ikan, nugget dan sosej.
“Turut dirampas ialah stor sejuk beku, kenderaan serta pelbagai peralatan penyimpanan dan pemprosesan dengan nilai rampasan keseluruhan RM10.06 juta.
“Selain itu, kami turut menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel di Sri Aman dan Kota Samarahan.
“Hampir 16,000 liter diesel, tangki skid, tangki simpanan, jentera berat serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan dirampas dengan nilai keseluruhan RM824,599,” katanya.
Lim berkata, menerusi Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah, pihaknya turut membongkar kegiatan pembalakan tanpa permit, pemprosesan kayu secara haram serta kes berkaitan hidupan liar.
Katanya, operasi itu membawa kepada rampasan kayu balak, kayu diproses, kayu gaharu, sarang burung walit, jentera berat, stor penyimpanan serta pelbagai peralatan lain.
“Sementara itu, menerusi Op Taring Batas/Awas, kami berjaya mengesan dan menahan beberapa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), selain menggagalkan cubaan menyeludup beras dan produk daging sejuk beku tanpa permit.
“Operasi itu turut membawa kepada rampasan telefon bimbit, motosikal dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM783,747.40,” jelasnya.
Beliau berkata, semua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak dan agensi berkaitan lain untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.









