KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak terus menggempur kegiatan penyeludupan dengan melakukan lima tangkapan dalam bulan ini menerusi Op Taring Batas/ Awas.
Komander PGA Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga asing berumur 38 tahun di Tebedu pada 17 September lalu, yang disyaki cuba menyeludup produk sejuk beku tanpa dokumen dan permit yang sah.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya telah merampas sebanyak 8,000 kilogram daging dan 800 paket sosej sejuk beku, termasuk sebuah kenderaan jenis MPV.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM73,280 merangkumi nilai rampasan daging sejuk beku RM8,880, nilai rampasan sosej sejuk beku RM4,400 dan nilai rampasan kenderaan sebanyak RM 60,000,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah tangkapan kedua juga dibuat pada 17 September ke atas seorang lelaki warga asing berusia 50 tahun ketika cuba menyeludup keluar empat tong gas petroleum cecair (LPG) menggunakan sebuah motosikal berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di sekitar Daerah Lubuk Antu.
Seterusnya, Lim berkata seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan kerana disyaki menyeludup 2.4 tan daging sejuk beku dianggarkan bernilai RM46,800 menggunakan sebuah lori di Lundu pada 19 September lepas.
Selain itu, katanya seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun turut ditahan di Bau pada 22 September kerana cuba menyeludup 5 tan daging sejuk beku dianggarkan bernilai RM110,800 menggunakan sebuah lori.
Manakala, Lim berkata dua lagi lelaki tempatan berusia 50 dan 58 tahun ditahan di Tebedu pada 23 September kerana disyaki cuba menyeludup keluar 287 kilogram daging sejuk beku dianggarkan bernilai RM11,935 menggunakan sebuah van dan motosikal.


