PGA Sarawak rampas rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM1.4 juta

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas rokok pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM1,453,500 dalam Op Libas yang dijalankan di sebuah gudang di Batu Kitang, semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 11, DSP Kinsi Bilu berkata, bertindak atas risikan dan maklumat yang diperoleh, seramai enam pegawai dan anggota dari Unit Risikan Batalion 11 serta dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu gudang terbabit pada pukul 2 petang.

“Ketika serbuan, gudang itu berada dalam keadaan berkunci, pasukan risikan yang disertai pegawai SPRM terpaksa menunggu selama setengah jam sebelum bertindak memotong mangga dan kunci gudang tersebut untuk masuk ke dalam.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 7,650 karton rokok pelbagai jenis disembunyikan di dalam gudang tersebut berjaya ditemui dan disyaki belum lulus kastam. Kami mengesyaki  pemilik atau penjaga premis berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa semasa serbuan dilakukan,” katanya semasa sidang media di ibu Pejabat PGA Batalion 11 di Batu Kawa, di sini, hari ini.

Kinsi berkata, rokok-rokok tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran  dipasarkan di pasaran tempatan dan kes diserahkan kepada pihak Ibu pejabat Polis Daerah Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen  135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Dari Januari sehingga 8 Dis tahun ini, PGA Sarawak melakukan sebanyak 54 rampasan yang melibat jumlah keseluruhan rampasan barangan bernilai RM9.4 juta manakala  14 individu telah ditahan, – Bernama

Suara Sarawak