KUCHING: Ketua jurulatih Akademi Kuching City (AKC), Joseph Kalang Tie tetap kagum dengan semangat juang dipamerkan pemainnya di sebalik kekalahan 2-0 pada perlawanan menentang Sabah FC III di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.
Menurut Joseph, masih banyak kekurangan mencakupi pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian selepas ini.
Pada masa sama, kata Joseph, turut berlaku peningkatan prestasi dalam kalangan pemainnya pada perlawanan kedua pasukan itu.
“Memang bukan keputusan yang kita inginkan. Akan tetapi, situasi luar jangka ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada pemain.
“Dengan kata lain, ia menjadi penanda aras kepada saya untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” ujar Joseph kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau turut menghamburkan pujian kepada pemainnya kerana bermain bersungguh-sungguh sepanjang perlawanan.
“Tekanan memang ada, tetapi pemain berjaya mengimbanginya,” tambah Joseph.
Sambil mengakui akan cuba melupakan episod kekalahan tersebut, Joseph menyatakan tempoh rehat seminggu akan dipergunakan untuk memperkemas jentera di setiap posisi.
Akademi Kuching City bagi perlawanan seterusnya akan menentang Terengganu FC III di gelanggang lawan pada 6 Jun depan.



