PIALA MALAYSIA 2020: Cuba elak penalti

HARI ini merupakan persiapan terakhir skuad Kuching FA, sebelum turun menentang penyandang juara, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi kalah mati Piala Malaysia di Larkin Jumaat ini.

Menurut penolong jurulatih, Sharizan Sahari, para pemain sekarang ini berada dalam kondisi yang cukup baik, dari segi fizikal, moral dan mental.

Beraksi tanpa tekanan, dan sebagai pasukan bukan pilihan akan memberi sedikit kelebihan buat skuad warga kota itu.

“Kami tidak terlalu menaruh harapan tinggi terhadap Piala Malaysia… jadi kami tidak akan tertekan.

“Namun kami tidak akan terlalu bertahan, sebaliknya akan melakukan serangan, lebih-lebih lagi ketika ada ruang dan peluang,” kata Sharizan.

Menurut bekas anak buah Robert Alberts itu, dalam format saingan kalah mati, sesebuah pasukan itu tidak harus ‘berkampung’ di kawasan sendiri, sebaliknya perlu menggempur kubu lawan dari segenap penjuru.

Katanya lagi, mereka juga bersiap sedia untuk mengharungi masa tambahan 30 minit jika terikat spanjang 90 minit.

Malah mereka juga membuat persiapan sepakan penalti, jika aksi terpaksa ditentukan melalui ‘loteri’ itu.

“Kami turut menjalani latihan sepakan penalti, sebagai langkah berjaga-jaga.

“Namun kalau boleh biarlah perlawanan selesai dalam tempoh 90 minit, tidak berlanjutan ke masa tambahan atau penalti,” ujar Sharizan yang berasal dari Miri.

Yang pasti, penjaga gol berpengalaman, Mohamad Iqbal akan menjadi taruhan Kuching FA untuk menghalang sepakan penalti JDT, jika aksi dilanjutkan hingga ke sepakan ‘maut’ itu.

Suara Sarawak