BINTULU: Juara bertahan, Bintulu siap sedia untuk mengharungi sepakan penalti andaikata aksi suku akhir kedua kempen Piala Premier Sarawak 2026 menentang ATM di Padang Sintetik BDA petang esok berkesudahan seri.
Ketua jurulatih, Farhan Abdullah@Anai Igang memberitahu, persiapan pemain untuk berdepan dengan sepakan penalti turut dilakukan.
“Kita juga bersedia untuk berdepan dengan sepakan penalti andaikata perlawanan petang esok berkedudukan seri hingga masa tambahan.
“Saya tidak mengharap ia berlaku dan fokus kami untuk meneruskan rentak kemenangan walaupun ketika ini Bintulu mempunyai kelebihan satu gol hasil kemenangan (1-0) dicatat pada aksi suku akhir pertama di Kuching minggu lepas,” ujar Farhan kepada Arena Suara Sarawak.
Farhan akui, pasukannya akan terus memanfaat kelebihan yang ada petang esok.
Dengan kata lain, mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki selain memanfaat kelebihan bermain di laman sendiri.
Farhan percaya situasi lebih berbeza akan dilalui pemainnya untuk perlawanan timbal balik esok.
“Saya ingatkan kepada semua pemain, kekal fokus, elak melakukan kesilapan mudah.
“Yang penting sekali, perlu bijak memanfaat peluang terhidang depan gol,” tambah Farhan.
Pasukan Bintulu andaikata berjaya mengekal kelebihan satu gol sedia ada, atau berjaya meneruskan rentak kemenangan ke atas ATM akan layak ke peringkat separuh akhir.


