BINTULU: Pengurus pasukan Bintulu, Musabaqah Meliki percaya kesemua pemain akan berjuang hingga ke wisel penamat aksi suku akhir kedua menentang ATM di Padang Sintetik BDA, kempen Piala Premier Sarawak 2026 petang esok.
Malah, anak didik Farhan Abdullah@Anai Igang berazam tidak rela kelebihan satu gol dimiliki hasil kemenangan (1-0) diperoleh minggu lalu terlepas begitu sahaja.
“Satu gol yang dimiliki ketika ini, satu misi untuk mempertahankannya.
“Pasukan Bintulu bakal menghadapi aksi suku akhir kedua yang cukup berbeza petang esok,” ujar Musabaqah kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Musabaqah, kelebihan satu gol ini amat berharga, namun ia bukan alasan untuk kita berasa selesa.
Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dengan lebih gigih demi memastikan misi ke peringkat seterusnya tercapai.
Beliau berkata, setiap pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya, berjuang dengan semangat berpasukan dan memastikan disiplin diri sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Jurulatih sentiasa menekankan tiga elemen penting yang perlu menjadi pegangan setiap pemain, iaitu kekal berdisiplin, fokus dan berkeyakinan sepanjang perlawanan.
“Tiga kata azimat ini amat penting dalam menghadapi perlawanan yang pastinya mencabar, lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan ATM yang akan berusaha untuk bangkit,” tambah Musabaqah.
Beliau akui, kini tiba masanya untuk seluruh warga Bintulu bersatu hati dan memberikan sokongan padu kepada pasukan kebanggaan mereka.
“Kehadiran anda (penyokong) di Padang Sintetik BDA petang esok bukan sekadar sebagai penyokong, tetapi sebagai pemain ke-12 yang mampu menyuntik semangat dan motivasi kepada setiap pemain di atas padang,” menurut beliau.


