BINTULU: Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI), Kong Chiong Ung, menggesa Sayap Usahawan Muda BCCCI untuk terus mengimbangi pembangunan kerjaya dengan promosi gaya hidup sihat dalam kalangan ahli dan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pembukaan Kejohanan Pickleball BCCCI YES yang diadakan di gelanggang Kenyalang Futsal dan Pickleball, di sini, petang Ahad.
Dalam ucapannya, Kong berkata fokus organisasi tidak hanya terhad kepada aspek perniagaan, tetapi turut merangkumi kesejahteraan holistik.
“Kami menggalakkan para ahli serta masyarakat untuk kerap bersenam bagi mengekalkan kesihatan fizikal, mental dan emosi, sekali gus membantu meningkatkan prestasi dalam pekerjaan dan kehidupan seharian,” katanya.
Beliau memuji penganjuran kejohanan julung kali organisasi terbabit yang disifatkan sebagai hasil komitmen serta usaha gigih semua ahli jawatankuasa.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam persiapan acara, khususnya para penaja atas sokongan padu mereka.
“Sokongan tersebut bukan sahaja membolehkan acara ini dianjurkan dengan lebih baik, malah meningkatkan nilai hadiah, sekali gus menarik lebih ramai peserta berkualiti untuk menyertai pertandingan,” tambahnya.
Kong turut menzahirkan rasa gembira dengan tahap penyertaan yang tinggi dan bersifat inklusif, menampilkan peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Sejumlah 290 peserta menyertai kejohanan julung kali anjuran Sayap Usahawan Muda BCCCI yang antara lain bertujuan memupuk semangat kesukanan, mengeratkan silaturahim serta mempromosikan gaya hidup sihat.




