SIBU: Hospital Sibu kini sedang mencari waris atau ahli keluarga kepada seorang pesakit lelaki yang identitinya tidak dikenali.
Menurut kenyataan media dari Hospital Sibu hari ini, lelaki tersebut telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans setelah menerima aduan daripada orang awam pada 4 April 2025.
“Pesakit ditemukan dalam keadaan cedera dan tidak sedarkan diri. Tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya,” kata kenyataan itu.
Namun, hanya salinan sijil kematian milik Gindu Anak Suan dan sijil berhenti sekolah kerajaan milik Bali Anak Laman ditemukan bersama pesakit.
Pihak wad memaklumkan bahawa tiada waris atau ahli keluarga yang melawat pesakit sejak dia dimasukkan ke Wad Pembedahan Neuro, Tingkat 1, Hospital Sibu.
Sehubungan itu, pihak Hospital Sibu menyeru waris atau ahli keluarga pesakit untuk segera ke Wad Pembedahan Neuro, No.14, Tingkat 1, Hospital Sibu, atau menghubungi talian 084-238888 sambungan 7610 atau 6114 bagi urusan rawatan pesakit.


