BUKAN lagi rahsia, persiapan dan persediaan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan bermula selepas sambutan Aidilfitri.
Semua pihak, baik jabatan dan agensi kerajaan, parti politik, media malah pemerhati dan penganalisis politik sepakat tentang perkara tersebut.
Dan, menyedari akan hakikat itulah Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi enggan berselindung untuk menyebut ‘hari besar’ itu akan berlaku tidak lama lagi, lebih tepat pada tahun ini. Bila?
Itu pregrogratif Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menetapkan. Dalam keadaan sekarang, Abang Johari boleh bila-bila masa sahaja menekan punat pembubaran Dewan Undangan Sarawak.
Seperti kata Naib Presiden Kanan PBB yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof – hari tok pun boleh.
Dalam selorohnya itu, Fadillah berkata benar.
Kerajaan GPS pada waktu ini berada dalam kedudukan terbaik untuk mengadakan pilihan raya, apatah lagi isu lokal yang wujud, tidaklah seserius mana, dan dapat ditangani bijak.
Malah ketika ini, pada pemerhatian penulis, tidak ada perkara yang perlu disapu di bawah permaidani, mahupun diselindungkan seperti mana-mana kerajaan lain, menjelang pilihan raya.
Rejim Abang Johari dalam tempoh sembilan tahun ini telah memimpin dengan baik dan telus.
Malah kesuburan ekonomi telah dirasai di mana-mana dalam bentuk pulangan kepada rakyat dan program pembangunan.
Dari aspek pembangunan misalnya, sudah wujud momentum luar biasa, terutama selepas jambatan demi jambatan berstatus mega siap dibina.
Malah tidak sedikit jalan-jalan pesisir dan lingkaran telah lengkap, selain kerja-kerja pembinaan berlangsung di segenap pelosok wilayah ini.
Ketika ini wujud lebih 1,600 projek aktif yang diselenggarakan Jabatan Kerja Raya.
Justeru, tidak hairanlah beberapa projek Kerajaan Persekutuan, termasuk yang berada di bawah nilai ambang RM50 juta seperti sekolah dan klinik berhadapan kelewatan, kerana jabatan negeri tersebut berhadapan kekangan dari segi tenaga pakar untuk mengendalikan lambakan.
Paling menarik, jambatan paling mahal, Jambatan Batang Lupar yang menelan kos lebih RM840 juta akan mula digunakan pada Mei depan, manakala projek pengangkutan awam, Transit Aliran Automasi (ART) yang berharga lebih RM6 bilion mungkin menjadi kenyataan pada tahun ini.
Tidak perlu untuk penulis jelaskan akan jumlah inisiatif yang telah direaliasikan dalam tempoh tersebut.
Sejarah membuktikan bahawa pada penggal kedua pemerintahannya, Abang Johari telah memimpin Sarawak melalui era baharu, dan mengubah seluruhnya ekosistem yang ada; baik dari segi pendidikan, pentadbiran, malah hidup bermasyarakat dan alam sekitar.
Kerana itu tidak hairanlah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui Sarawak kini digelar “gergasi ekonomi baharu” di rantau ini, selain dijuluki sebagai Bateri ASEAN, lewat peranannya sebagai pembekal tenaga boleh diperbaharui terbesar di rantau ini.
Justeru, keadaan selesa inilah sebenarnya, paling sesuai untuk parti itu “meremajakan” semula penampilannya dengan mengemukakan calon-calon baik bagi menggantikan “muka lama” mahupun mereka yang “gagal berprestasi”, serta “padat isu”.
Inilah waktunya untuk menjayakan “parti lebih penting daripada calon”, kerana seperti kata Abang Johari, ini adalah era transisi dan transformasi bagi parti yang menggenggam piagam “Utamakan Sarawak” ini.
Untuk GPS, sekurang-kurangnya, pintu akan terbuka kepada 40 calon muka baharu. Seramai 17 calon datangnya daripada kerusi baharu, hasil persempadanan semula.
Manakala selebihnya adalah proses transisi, dengan 30 peratus muka baharu diperkenalkan bagi menggantikan penyandang yang sudah berusia dalam 82 kerusi yang ada sekarang.
Ini termasuk untuk merampas dua kerusi yang kini dimiliki Parti Tindakan Demokratik (DAP), iaitu DUN Padungan dan DUN Pending.
Adakah akan ada persaingan?
Pemerhatian penulis mendapati agak sukar untuk mana-mana parti menghadirkan cabaran kepada GPS kali ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin berminat untuk meletakkan calon, namun dalam situasi politik Kerajaan Perpaduan sekarang, penulis tidak fikir Anwar memberi lampu hijau untuk mereka menyerang GPS.
Malah jika bertanding pun, apakah bentuk isu yang hendak mereka bawa?
Sedangkan Anwar sendiri kini menaruh harapan kepada GPS, untuk meneguhkan kedudukan rejim pimpinannya.
DAP?
Pasti bertanding kerana mereka perlu mempertahankan kerusi yang dimiliki, atau jika gagal, ia berhadapan risiko pupus di Bumi Kenyalang. Ini cabaran besar yang terbuhul di bahu Chong Chieng Jen dan Violet Yong.
Mereka bagai terhimpit dengan segala inisiatif Abang Johari, apatah lagi DAP sendiri sebelum ini gagal membuktikan kebolehan mereka dalam pemerintahan.
Kerana itulah mereka terpaksa memainkan peranan secara agresif dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak mahupun di luar, kerana jika tidak, kehadiran mereka tidak dirasai dan kemungkinan besar akan dilupakan. Ini sudah pasti menyukarkan mereka pada setiap kali pilihan raya.
Parti lain?
Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK)? Kepimpinan kedua-dua parti ini kini diperbaharui dengan kemasukan pimpinan baharu daripada kalangan profesional dan pesara kerajaan.
Parti Sedar Rakyat Sarawak pula hanya muncul apabila bermulanya musim pilihan raya.
Dua parti dalam Perikatan Nasional; Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin boleh menggugah, namun realitinya, Sarawak bukan padang permainan mereka.
Kesemua parti ini secara realitinya, bukan saingan besar dan berat.
Dan, mereka ini mungkin lebih kepada melakukan serangan di peringkat domestik dan peribadi.
Ketika in, apa-apa sahaja isu yang diangkat sebelum ini, telah diselesaikan.
Ia berlaku sejak beberapa penggal lalu, apatah lagi isu kecil yang membabitkan pembangunan dan memerlukan biaya besar, seperti infrastruktur Justeru pada pilihan raya kali ini, akan berlaku ketandusan isu.
Projek mustahil, seperti jalan darat ke Kapit dan pedalaman Baram telah ditangani.
Semua perancangan pembangunan juga sudah mula menampakkan hasil. Satu-satunya isu yang berbangkit, mungkin perihal personaliti wakil rakyat terlibat.
Rakyat menilai sepanjang penggal pentadbiran dan sudah pasti ini “mimpi ngeri” bagi mereka yang nampak muka hanya pada waktu pilihan raya sudah hampir mendekat.
Isyarat “turun padang” khabarnya sudah diberikan oleh Abang Johari sejak beberapa bulan lalu dan ia sewajarnya dimanfaatkan sebaiknya atau jika gagal, jangan salahkan parti jika digugurkan.
Ketika penulis menulis pojok ini, lobi dan turun padang sedang berlangsung rancak di seluruh wilayah.
Ada gerakan yang mahu menggantikan penyandang, malah tidak sedikit yang mengintai kerusi baharu.
Usah dicakap tentang resume atau profil yang diedarkan; baik kepada pihak parti mahupun kepada agensi-agensi penilai, yang boleh memberikan rekomendasi kepada kerajaan memerintah.
Inilah waktu yang menarik sebenarnya, kerana turut diperhati adalah kalangan penjawat awam yang berpotensi, dan golongan profesional yang ternyata berjaya dalam bidang masing-masing.
GPS mungkin mengimbangi kedua-dua elemen ini; calon dari parti dan calon profesional, penjawat awam (calon payung terjun).
Ini penting kerana selepas berjaya mentadbir kelak, parti politik ini perlu mereka yang memiliki pengalaman dan kemahiran, terutamanya dalam teknologi baharu dan terkini dalam menguruskan negeri.
Ia tidak berkaitan dengan politik sematamata kerana politik sepanjang masa akan menghancurkan negeri dan negara.
Mungkin beberapa yang kaya pengalaman dan berusia perlu dikekalkan memandangkan ada lima jawatan baharu menteri, akan ditambah dalam Kabinet kelak.
Dan, ia tidak boleh diberikan sembarangan kepada wakil rakyat baharu.
Lalu bila sebenarnya tarikh pilihan raya?
Terlalu banyak spekulasi diberikan oleh dukun politik.
Namun persediaan selepas Aidilfitri membayangkan beberapa tempoh terbaik. Antaranya Julai dan Ogos.
Tetapi jika “ditenung” kepada beberapa perkembangan terkini, termasuk perkembangan politik nasional di Semenanjung, projek mega yang sedang disiapkan serta bacaan tentang cuaca, pilihan raya Sarawak akan berlaku seawal-awalnya pada September depan.
Atau selewat-lewatnya pada November, selepas pembentangan Bajet 2027.
Perkiraan masa ini penting untuk mengelakkan pilihan raya ini bertembung dengan Monsun Timur Laut yang sukar diramal.
Yang pasti, Abang Johari sudah pasti melihat mangkuk ajaibnya dan menetapkan bila tarikh paling sesuai dan afdal.
Apa-apa pun, waktu ini adalah tempoh yang terbaik bagi mengembalikan demokrasi kepada rakyat.
Cuma yang perlu ditangani, adalah sedikit kekalutan yang disengajakan, dalam parti komponen kerajaan.
Namun ini akan diselesaikan dengan sekali duduk di kedai kopi.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan TV dan kandungan media Sarawak.


