PKP di Sibu termasuk Selangau dan Kanowit

SIBU: Keputusan pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebentar tadi untuk bahagian Sibu merangkumi daerah Kanowit dan Selangau telah disambut baik oleh kalangan masyarakat di sini.
Jockie Brodie, 48, seorang ahli perniagaan merasakan PKP di sini amat perlu dan rasional untuk dilaksanakan.
“Pelaksanaan PKP harus dilaksanakan susulan Kluster Pasai yang telah menular dengan luar biasa sekali.
“Kalau tidak (pelaksanaan PKP) mungkin lebih ramai yang akan dijangkiti nanti. Kluster Pasai adalah yang terbesar dari kluster yang sedia ada,” ujar beliau hari ini.
Walaupun PKP dilaksanakan demi warga Sibu, Jockie tetap pasrah dengan keadaan situasi perniagaannya yang turut terjejas.
“Demi keselamatan warga Sibu buat masa ini, saya tidak peduli asalkan semuanya selamat.
“Memandangkan kes di Sibu meningkat dari hari ke hari langkah melaksanakan PKP adalah langkah yang tepat sejajar dengan usaha kerajaan membendung penularan COVID-19. Kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab mesti patuh dan mengikuti garis panduan SOP yang telah ditetapkan,” tambah beliau yang mengusahakan cafe di sini.
Wendy Wilma, 18, calon SPM dari SMK Methodist di sini turut menyambut baik keputusan JPBN tersebut.
Katanya, walau bagaimanapun beliau berharap agar peperiksaan SPM tetap diteruskan seperti dijadualkan sebelum ini.
“Walau apapun, saya tetap meneruskan ulangkaji sebagai persediaan menduduki SPM akan datang.
“Pelaksanaan PKP ini amat wajar dan saya tidak ingin melihat SPM akan ditinggalkan sekali lagi,” jelas beliau.
Wendy turut bertekad akan menduduki SPM sampai dapat walau apapun keputusan pihak kementerian.
Beliau memberitahu dengan pelaksanaan PKP ini ia akan digunakan untuk ulangkaji pelajarannya.
“Diharap pelaksanaan PKP di Sibu ia tidak akan menganggu jadual SPM,” kata Wendy.
Wellie Jemat, 47, turut menyambut baik pelaksanaan PKP itu dan berharap ia adalah langkah terbaik buat masa ini untuk mengekang penularan Kluster Pasai.
“Tiada cara lain, PKP lah yang paling tepat. Biar semua tidak keluar rumah asalkan Kluster Pasai dapat diputuskan.
“Kita mahu hidup normal seperti dulu. Mahu tak mahu demi kehidupan yang normal kita harus menempuhi PKP ini,” ujar pekerja swasta itu.
Wellie berharap warga Sibu terus mematuhi PKP ini bagi bekerjasama memutuskan rantaian jangkitan Kluster Pasai.
“Sekarang bakal tiba masanya untuk kita semua membantu kerajaan mengekang penularan ini,” ujar Willie.

Suara Sarawak