PKPB bagi semua bahagian Sarawak, kecuali Sibu

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal dilaksanakan di semua bahagian di negeri ini kecuali Sibu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, arahan PKPB ini berkuatkuasa selama 14 hari mulai 18 Januari ini jam 12.01 pagi hingga 31 Januari 2021 jam 11.59 malam.
“Beberapa keputusan dibuat hari ini iaitu kita akan melaksanakan PKPB di semua bahagian di negeri Sarawak kecuali Sibu kerana Sibu kita telah laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“SOP berhubung PKPB ini akan diumumkan esok,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sementara itu, Uggah turut mendedahkan bahawa arahan PKP bagi daerah Sibu telah dikuatkuasa pada 16 Januari hingga 29 Januari ini.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi rumah-rumah ibadat, beliau berkata ia akan dikeluarkan oleh UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain).
“Manakala SOP bagi perhimpunan di rumah panjang dan kampung-kampung akan dikeluarkan Majlis Adat Istiadat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat supaya untuk memantau keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan penduduk kampung masing-masing.
“Sekiranya ada diantara mereka yang didapati menunjukkan tanda atau gejala jangkitan Covid-19, mereka harus segera melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berdekatan,” tegasnya.