MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai tapak baharu untuk membina semula kekuatan parti menerusi pendekatan politik lebih matang berteraskan idea dan dasar yang jelas.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata PKR perlu membuktikan keupayaan melahirkan wakil rakyat yang mampu menjadi suara rakyat selepas tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ke-15 pada 2021.
Beliau berkata PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu mendekati masyarakat serta memahami isu kos sara hidup, belia, pendidikan, pemilikan rumah, gaji dan kesihatan mental, selain meninggalkan politik berasaskan naungan.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata kejayaan parti tidak seharusnya diukur berdasarkan penguasaan politik semata-mata, sebaliknya kemampuan idea, prinsip dan dasar yang dibawa memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan tamat pada 31 Dis ini, manakala Kongres Nasional PKR 2026 akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dari 13 hingga 16 Ogos, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dijadual merasmikannya pada 15 Ogos seperti dilapor Bernama.

