KUCHING: Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak menandakan satu lagi pencapaian penting Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) dalam usaha memperkukuh perlindungan kepentingan Kerajaan Sarawak dalam landskap teknologi yang semakin kompleks.
Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan SAINS dalam menyokong agenda transformasi digital Kerajaan Sarawak, khususnya dalam menghadapi landskap AI yang berkembang pesat dan mencabar.
Katanya, platform tersebut juga menyediakan persekitaran pengkomputeran yang selamat dan berskala sekali gus mampu menyokong penalaan halus model AI, inferens AI, kembar digital, analitik keselamatan siber, pengkomputeran intensif data dan pembangunan aplikasi AI.
“Penubuhan Platform Infrastruktur AI Berdaulat akan menyediakan asas pengkomputeran yang diperlukan oleh agensi kerajaan, badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk membangunkan serta melaksanakan penyelesaian AI termaju.
“Ia akan memperkukuh kedaulatan digital Sarawak dengan membolehkan perkhidmatan AI kerajaan dihoskan secara selamat di peringkat tempatan, privasi dan keselamatan data merupakan perkara yang amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan Berdaulat (Sovereign AI) Sarawak di voco Kuching by IHG Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, negara yang mempunyai akses kepada infrastruktur pengkomputeran AI termaju ialah negara yang memiliki keupayaan untuk membangunkan penyelesaian AI yang inovatif, meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan peluang baharu.
Menurutnya, perkara tersebut juga diperlukan Sarawak untuk mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi sebuah masyarakat yang makmur dipacu oleh data dan inovasi – semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan pembangunan mampan.
“SAINS komited sepenuhnya untuk menyediakan teknologi, kepakaran, infrastruktur, keselamatan dan sokongan berterusan yang diperlukan bagi membina ekosistem AI yang dipercayai, berdaya tahan, ditadbir secara tempatan dan selaras dengan keutamaan strategik Kerajaan Sarawak.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bukan sahaja sebagai penyedia teknologi, tetapi sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai untuk memperkukuh keupayaan tempatan, melindungi data dan kedaulatan digital Sarawak serta mempercepat transformasi perkhidmatan awam,” tegasnya.


