KUCHING: Orang ramai khususnya pelanggan digalak untuk memuat naik aplikasi Sarawak Energy Berhad (SEB) Cares dalam usaha mengurangkan masa menunggu perkhidmatan SEB.
SEB dalam satu kenyataan berkata, sistem digital yang disediakan itu memudahkan pelanggan menikmati perkhidmatan yang lebih cekap, mudah dan pantas.
Menerusi platform SEB Cares katanya, pelanggan boleh menguruskan bil, pembayaran dan permintaan berkaitan perkhidmatan di mana-mana sahaja.
Sekali gus membantu mengurangkan masa menunggu dan barisan panjang di pusat perkhidmatan.
SEB menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi SEB Cares dan mengakses perkhidmatan penting hanya di hujung jari.
Naib Presiden Bahagian Runcit Sarawak Energy Ng Shou Fui berkata, biarpun pihaknya memperkasakan penggunaan digital, namun kesediaan terhadap pelanggan yang masih selesa terhadap perkhidmatan fizikal masih digalakkan.
“Bagi menyokong golongan ini, pusat-pusat kami masih dilengkapi dengan titik sentuhan fizikal dan staf di lapangan, termasuk penyambut tetamu, yang bersedia dengan kiosk pembayaran atau navigasi perkhidmatan,” katanya.
Sarawak Energy turut menyediakan Sistem Temu Janji (SEAS) yang membantu pelanggan menjadual lawatan ke kaunter perkhidmatan lebih awal.
“Pelanggan boleh memilih kaunter, tarikh dan masa pilihan sekurang-kurangnya sehari sebelum lawatan, dan hanya perlu tiba lima minit sebelum waktu temu janji,” katanya.



