KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap syarikat swasta dapat mengikut langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.
Berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan hari ini, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini dan kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Anwar berkata, setiap pekerjaan mempunyai peranan sama penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Anwar berkata: “Pengumuman ini walaupun tidak menyinggung secara langsung (syarikat) swasta, saya mahu dan berikan tempoh kepada mereka untuk memberikan perhatian, ada syarikat-syarikat swasta yang untungnya berlipat kali ganda.
“Jadi mana untungnya? Dalam produktiviti. Dari mana produktivitinya? Produktiviti itu (datang) dengan pekerja, jadi berikanlah sedikit, kalau syarikat untung ratus juta, berikanlah berapa ratus ringgit kepada pekerja,” katanya.
Anwar dalam pada itu menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan hanya memberi perhatian kepada penjawat awam berbanding pekerja di sektor lain.



