SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengetuai delegasinya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung selama tiga hari sehingga 7 Sept 2023, di Jakarta, Indonesia.
Di bawah tema Kepemimpinan ASEAN Indonesia iaitu “ ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”, para Pemimpin ASEAN akan membincangkan pengukuhan integrasi ASEAN dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang utama seperti ekonomi digital dan hijau, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Para Pemimpin juga akan membincangkan cara-cara untuk memastikan ASEAN terus relevan dan berpusat dalam kerangka serantau yang berkembang.
Mereka dijadual bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar,” menurut PMO dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawangnya.
Pemimpin ASEAN juga akan bertemu dengan wakil negara asing pada Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-26, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18, dan Sidang Kemuncak dengan Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.
Lee akan diiringi Menteri Luar Negeri Dr Vivian Balakrishnan, serta pegawai dari Kementerian Luar Negeri.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong akan menjadi Pemangku Perdana Menteri semasa lawatan itu. – BERNAMA





