MUKAH: Usaha Politeknik Mukah (PMU) dalam memperkasa komuniti melalui perkongsian ilmu terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Civil Engineering Care (CEC) di Madrasah Al-Quran Mukah (MAQUM) Kampung Judan Ulu, baru-baru ini.
Program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini melibatkan penyertaan sukarelawan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) PMU yang melaksanakan kerja-kerja pemasangan serta baik pulih sistem hidroponik sedia ada di kawasan madrasah.

Ketua JKA, Canarisa Nipi Ah Lian berkata, inisiatif ini adalah untuk memperkenalkan kaedah pertanian moden yang lebih efisien dan lestari.
Menurutnya, inisiatif ini mampu menyokong usaha komuniti dalam mengamalkan gaya hidup hijau.

“Selain kerja teknikal, pelajar PMU turut berkongsi pengetahuan berkaitan pengoperasian dan penyelenggaraan sistem hidroponik kepada warga MAQUM.
“Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini memberi peluang kepada pelajar madrasah untuk memahami konsep asas hidroponik serta kepentingannya dalam pengeluaran makanan secara mampan,” katanya.

Ujarnya, secara keseluruhan, program ini berlangsung dengan lancar, hasil kerjasama erat antara PMU dengan MAQUM.
Pada masa yang sama, pelajar MAQUM turut menzahirkan rasa teruja dengan ilmu yang dikongsikan oleh pihak PMU.
Katanya, melalui program tersebut, mereka lebih memahami sistem hidroponik dan cara menjaganya.


