ARTIKEL

FB KTM

Pokok tumbang jejaskan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter mengalami gangguan susulan kejadian pokok tumbang yang merosakkan alat talian atas antara laluan Sungkai-Slim River pada 4.20 petang semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu menyebabkan 12 tiub cantilever patah, sekali gus menjejaskan bekalan kuasa bagi operasi tren di jajaran berkenaan.

Menurut KTMB insiden itu memberi kesan kepada 12 perkhidmatan ETS dan KTM Komuter melibatkan laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim.

Kenyataan itu memaklumkan kerja pembersihan di lokasi kejadian berjaya diselesaikan pada 6.53 petang.

“Pada masa ini, kerja baik pulih sistem elektrifikasi sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal KTMB dengan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan dengan selamat dan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

KTMB turut memaklumkan aturan terkini operasi adalah perkhidmatan ETS dari KL Sentral dan Segamat akan ditamatkan di Stesen Slim River dengan penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Sungkai bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Perkhidmatan ETS dari Padang Besar dan Butterworth pula akan ditamatkan di Stesen Sungkai, dan penumpang akan dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Slim River untuk meneruskan perjalanan.

Sementara itu, perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim beroperasi seperti biasa namun dijangka mengalami kelewatan.

“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam layak memohon pemulangan tambang penuh di kaunter tiket stesen berdekatan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB makluman berkaitan kelewatan turut disampaikan kepada penumpang terlibat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai langkah pemberitahuan awal.

Penumpang yang memerlukan bantuan lanjut boleh mendapatkan khidmat petugas stesen atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road