ROBAN: Dua lelaki ditahan kelmarin kerana disyaki memecah masuk sebuah rumah kosong sebelum melarikan beberapa barangan, termasuk perhiasan tembaga dan mesin pemotong rumput, dalam kejadian di Kampung Melayu Roban pada hujung April lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 37 tahun itu masing-masing mempunyai satu dan empat rekod jenayah lampau.
Menurutnya, suspek pertama dan kedua ditahan di dua lokasi berasingan di Roban pada Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek pertama, pada 30 April lalu, dipercayai merosakkan kunci pintu sebelum memasuki rumah yang tidak berpenghuni sejak Januari.
“Suspek kemudian mengambil beberapa barangan dari rumah tersebut dan membawanya ke kediaman suspek kedua untuk diambil gambar sebelum diiklankan bagi tujuan jualan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, namun tiada pembeli berminat mendapatkan barangan berkenaan, menyebabkan kedua-dua suspek bertindak menjualnya kepada sebuah kedai barangan lusuh di Roban dengan harga RM25.
“Siasatan turut mendapati wang hasil jualan barangan curi itu dipercayai digunakan untuk membeli bekalan dadah,” katanya.


