KUCHING: Polis sedang memburu dua tahanan lelaki yang melarikan diri dari jagaan sah di sisi undang-undang di Mahkamah Kuching pada 7 Mac lalu, sekitar jam 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kedua-dua tahanan itu masih dalam tempoh perbicaraan atas kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan tanpa senjata api).
“Mana-mana individu yang melindungi suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 225(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Chris Olsen Ramlee di talian 013-8607572.


