PADAWAN: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang mencuri sebuah motosikal di pasar Siburan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata ia susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki berumur 40 tahun kira-kira jam 10.30 malam, 11 Disember lalu yang memaklumkan motosikal Honda C100B miliknya yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di pasar Siburan telah hilang.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mengesan video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di Facebook semalam, menunjukkan suspek mencuri motosikal itu.
“Siasatan polis mendapati suspek seorang lelaki berumur 40-an dan ketinggian kira-kira 160 sentimeter.
“Pihak polis sedang giat mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.
Dalam pada itu, Lim turut menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan awal seperti memastikan kenderaan dipasang kunci tambahan.



