KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang berpakaian menyerupai anggota pasukan keselamatan dan membawa senjata dipercayai tiruan seperti dipaparkan dalam video tular di media sosial.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ibrahim Husin berkata kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar Taman Bukit Desa, Kepong, Selangor.
Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Insp S. Prakash di talian 012-2940827, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Video berdurasi kira-kira 15 saat itu memaparkan seorang lelaki memakai pakaian hijau menyerupai tentera dan berjalan di kawasan perumahan sambil membawa raifal.

