SIBU: Polis kini giat memburu beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di sebuah rumah di Jalan Lada, awal pagi pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian sekitar 1.54 pagi itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung bunyi letupan kuat yang kedengaran di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebanyak empat das tembakan dilepaskan menggunakan senjata api, menyasarkan sebuah rumah dan sebuah kereta milik mangsa.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Namun, kerosakan pada harta benda dikenal pasti. Suspek dipercayai lebih daripada seorang dan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Zulkipli berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melepaskan tembakan dan perbuatan khianat merosakkan harta benda.
Motif kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.
Zulkipli menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Abu Bakar Roshidi di talian 012-8774241.


