SARATOK: Sebanyak 38 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan semasa Op Pematuhan Lalu Lintas yang dijalankan di tiga lokasi utama sekitar Saratok, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok itu menumpukan kawasan Jalan Roban Lama, Jalan Roban-Kabong dan Lebuh Raya Pan Borneo.
Katanya, 58 kenderaan diperiksa membabitkan 23 motokar, 10 motosikal, lapan kenderaan pelbagai guna (MPV), sembilan pikap, lima van dan tiga lori.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit, pasukan penguatkuasaan telah mengeluarkan 38 saman PDRM (K) 257 kerana melanggar pelbagai kesalahan trafik,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, sembilan penunggang motosikal disaman kerana tidak mempunyai lesen.

“Selain itu, enam pemandu kereta juga dikenal pasti tidak mempunyai lesen, lapan kereta disaman kerana nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi, masing-masing lima kesalahan ekzos dan lampu brek tidak berfungsi,” ujarnya.
Tegas Mathew, operasi kali ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal.
“Dalam masa sama kita ingin meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna.
“Secara keseluruhan operasi pematuhan lalu lintas ini mencapai objektif penguatkuasaan dan pencegahan,” tambahnya.

