MIRI: Polis semalam menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Jalan Simpang Bekenu dan Jalan Pujut di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek ditangkap pada jam 11.20 pagi dan 1 tengah hari semalam.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menjumpai dan merampas barang disyaki dadah jenis methamphetamine berjumlah 64.14 gram.
“Nilai rampasan barang disyaki dadah dianggarkan jumlah bernilai RM7,060,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati, atau dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek juga boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Manakala Seksyen 15(1)(a) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000, dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun,” katanya lagi.
Suspek-suspek akan dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman.
Orang awam dinasihatkan untuk melaporkan segera maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah di balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.


