ARTIKEL

Polis nafi kes tular samun dan pecah rumah di Siburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menafikan berlakunya kejadian samun dan pecah rumah secara berkumpulan menggunakan senjata di daerah ini seperti ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Padawan Supritendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya mengesan mesej tular pada jam 1 petang hari ini yang telah dipanjangkan dalam aplikasi Whatsapp.

Katanya, kejadian dikatakan melibatkan tiga orang atau lebih dengan menggunakan topeng dan senjata yang berlaku di Kampung Siburan Cina Lorong 9.

“Tiada insiden seumpama itu berlaku di kawasan Padawan khususnya Siburan pada tahun ini.

“Siasatan mendapati satu kejadian samun telah berlaku pada 29 Januari lalu, tetapi di Daerah Serian dan bukannya Padawan seperti dinyatakan hantaran yang tular tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abang Zainal menegaskan bahawa perbuatan orang ramai mereka-reka berita sama ada melalui hantaran, pemanjangan apa-apa bentuk teks atau video dan audio sehingga menyebabkan kegusaran masyarakat awam adalah satu kesalahan serius.

Katanya, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan juga di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedi, manakala pemenjaraan sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan jenayah.

“Pihak polis tidak mengambil ringan perkara ini dan sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan permulaan penularan hantaran mesej dalam aplikasi tersebut,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan kelibat empat ke lima orang berpakaian hood atau bertopi baseball yang berkeliaran di belakang rumah selepas waktu tengah malam.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak mengambil tindakan sembarangan dan terus menghubung bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

BERITA LAIN

Penganjuran Samarahan Family Fun Run promosikan ART

KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha mempromosikan Transit Aliran Automasi (ART), acara ‘Samarahan Family Fun Run 2024’ bakal dianjurkan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan

BERITA TERBARU

Penganjuran Samarahan Family Fun Run promosikan ART

KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha mempromosikan Transit Aliran Automasi (ART), acara ‘Samarahan Family Fun Run 2024’ bakal dianjurkan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan