SARATOK: Sepuluh premis sekitar Saratok yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 diputuskan bekalan elektrik.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok dan pihak Sesco dari Jun hingga November tahun ini telah memeriksa 24 premis.
“Sepanjang tempoh tersebut, 10 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana disyaki terlibat dalam kesalahan di bawah ARJT 1953,” katanya, di sini, hari ini.
Jelasnya, tindakan itu dilaksanakan semasa Op Dadu Khas bagi menyekat aktiviti perjudian di Daerah Saratok sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21A ARJT 1953.
Tegas Mathew, polis Saratok komited membanteras aktiviti perjudian dan jenayah melalui operasi berterusan, risikan strategik serta kerjasama masyarakat.
“Tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan awam terpelihara.
“Polis Saratok akan terus memperkukuh penguatkuasaan demi mewujudkan persekitaran yang aman, bebas daripada ancaman jenayah dan kegiatan tidak bermoral,” ujarnya.


