SELANGAU: Polis berjaya merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 63.46 gram bernilai kira-kira RM3,200 dalam satu serbuan di sebuah pondok atas bukit di Jalan Mukah-Selangau berhampiran laluan jejambat Selangau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi yang dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah itu turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Semasa serbuan, suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis sebelum pasukan serbuan berjaya menangkap suspek di bahagian belakang pondok berkenaan.
“Kekerasan minimum terpaksa digunakan semasa proses tangkapan kerana suspek cuba bertindak agresif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rizal turut memberitahu, pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan 22 keratan tiub straw lut sinar dan 25 paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu.
Jelasnya, kesemua dadah tersebut disimpan dalam sebuah beg silang berwarna hitam.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 juga dibuka kerana suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” jelasnya.
Tambah Rizal, suspek direman tujuh hari sehingga 2 Jun depan bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa IPD Mukah komited dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut boleh disalurkan secara terus di talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.



