SARATOK: Penduduk diingatkan agar terus meningkatkan tahap kewaspadaan walaupun tiada kawasan dilaporkan dinaiki air di Saratok, Roban dan Kabong.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Polis Mathew Manggie berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah bersama-sama Balai Polis Saratok, Roban dan Kabong kini giat melakukan pemantauan di kawasan rendah serta berisiko banjir.

“Setakat ini cuaca baik di keseluruhan kawasan dengan paras air dalam keadaan terkawal.
“Bagaimanapun masyarakat perlu tetap berwaspada dan pasukan tindak balas IPD Saratok dalam keadaan bersiap sedia termasuk sentiasa melakukan pemantauan di kawasan yang dilaporkan berpotensi berlaku banjir,” katanya kepada media hari ini.
Jelasnya untuk pemantauan di Sungai Krian dan Awik paras air menunjukkan trend semakin surut dan jalan perhubungan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Penduduk dan pihak sekolah telah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan banjir serta menghubungi Bilik Gerakan IPD Saratok dan Balai Polis Saratok sekiranya kawasan mereka dinaiki air memandangkan keadaan cuaca sekarang tidak menentu.
“Sementara di Kampung Melayu Roban biarpun cuaca mendung dan hujan renyai-renyai di sebelah pagi dan tengah hari keadaan baik serta tidak menunjukkan sebarang kenaikan paras air,” ujarnya.
Di Kabong pula katanya, pemantauan di sekitar Kampung Baru, Wawasan, Sungai Benang Alit, Nyabor dan sekitarnya juga menunjukkan keadaan hampir sama.
Bilik Gerakan IPD Saratok serta pasukan sahabat tambah Mathew, sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang bencana.




