KUCHING: Tindakan undang-undang lebih tegas diambil ke atas kegiatan kongsi gelap di Sarawak apabila 21 lelaki yang ditahan baru-baru ini disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek yang diberkas pada 15 April lalu mula direman selama 28 hari sejak 21 April bagi membantu siasatan lanjut, khususnya berkaitan pelibatan dalam jenayah kekerasan dan aktiviti sindiket.
Katanya penggunaan SOSMA membolehkan siasatan dijalankan secara lebih terperinci, termasuk menelusuri rangkaian dan struktur kumpulan yang dipercayai terlibat.
“Ini peringatan jelas bahawa sebarang pelibatan dalam jenayah kekerasan dan kegiatan sindiket tidak akan dipandang ringan dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, hari ini.
Menurutnya, polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi mengekang pengaruh kongsi gelap daripada terus berkembang, sekali gus memastikan ketenteraman awam di Sarawak kekal terpelihara.
Seramai 21 lelaki disyaki ahli kongsi gelap berjaya diberkas dalam operasi khas Op Pusak Merah yang dijalankan secara serentak di beberapa lokasi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama JSJ Kontinjen Sarawak.
Katanya, operasi tersebut digerakkan sebagai usaha berterusan bagi membendung aktiviti kumpulan berkenaan yang dipercayai semakin aktif sejak 2024.
“Beberapa siri serbuan dijalankan secara serentak di lokasi berasingan sekitar Kuching, Kota Samarahan, Simunjan dan Padawan sebelum kesemua suspek berjaya ditahan,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun.
Hasil siasatan awal katanya, polis mendapati sebahagian daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kes merusuh, samun, khianat, mendatangkan kecederaan serta kesalahan berkaitan dadah.
Tambah beliau, usaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian tersebut masih giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 148, 326, 384, 394, 427 dan 436 yang melibatkan kesalahan merusuh bersenjata, mendatangkan kecederaan, pemerasan, rompakan serta khianat,” katanya.


