KUCHING: Polis Sarawak menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk pembayaran saman trafik terpilih selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Ogos ini.
Tawaran itu dibuat sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 tahun ini.
Pembayaran boleh dibuat di kaunter saman di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarawak.
Waktu pembayaran bermula jam 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh tiga hari tersebut.
Diskaun 50 peratus itu meliputi semua jenis saman trafik kecuali kes kemalangan, saman berstatus Op Selamat, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman berkaitan kenderaan berat atau lori, saman kesalahan potong secara bahaya atau potong barisan, saman kesalahan menggunakan lorong kecemasan, saman tidak patuh lampu isyarat merah, saman kesalahan memotong di garisan berkembar serta kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.


