ARTIKEL

RAMPASAN…Mancha (dua kiri) bersama Timbalannya, Ibrahim (kiri) menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada sindiket yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Polis serbu pusat perjudian di kondominium mewah di daerah Padawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sindiket perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik kondominium mewah sebagai pusat panggilan judi di Daerah Padawan akhirnya terbongkar apabila diserbu pihak polis. 

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak telah menumpaskan dua sindiket judi dalam talian tersebut menerusi tiga serbuan Op Dadu pada 7 dan 8 November lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, serbuan pertama telah menyerbu sebuah kondominium di Lorong Dogan 3 pada 7 November dan menangkap seramai sembilan orang. 

Manakala katanya, serbuan kedua dan ketiga telah dijalankan pada 8 November 2023, Polis Kontinjen Sarawak telah berjaya menumpaskan satu lagi sindiket perjudian dalam talian di sebuah kondominium di Jalan Sunny Hill dan berjaya menangkap seramai 17 orang. 

“Kesemua tangkapan adalah seramai 26 orang yang terdiri daripada 23 orang lelaki dan tiga perempuan yang merupakan operator pengendalian perjudian dalam talian. 

“Suspek menerima bayaran gaji sebanyak RM1,200 sehingga RM1,600 sebulan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus dan Ketua JSJ Sarawak SAC Wong Ing Fung. 

Mancha berkata, kesemua barang rampasan membabitkan lapan unit set komputer, enam unit komputer riba, lima unit telefon pintar empat unit modem wifi dan tiga unit soket. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pusat perjudian tersebut telah beroperasi mengikut syif dalam tempoh 24 jam sejak setahun tiga bulan yang lalu.

“Berdasarkan rekod dan transaksi yang telah berjaya disemak dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM240,000 sebulan.

“Pihak polis kini sedang mengesan pemilik sebenar premia tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.

Selain itu katanya, hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas. 

Beliau berkata, kesemua tangkapan direman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU