KUCHING: Polis masih menyiasat dakwaan bahawa kedai serbaneka yang menjadi sasaran dua kejadian khianat di Kuching dan Sri Aman baru-baru ini mempunyai kaitan dengan pembekalan perkhidmatan judi dalam talian.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan, termasuk sejauh mana penglibatan premis terbabit.
Menurutnya, setakat ini polis sudah membuat satu tangkapan dan beberapa lagi tangkapan dijangka dilakukan bagi membantu siasatan.
“Itulah yang kita sedang sahkan; kita sudah membuat satu tangkapan setakat ini,” katanya.
“Selepas beberapa lagi tangkapan dibuat, barulah kita dapat mengetahui motif sebenar dan sejauh mana penglibatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Transformasi SOE Sarawak: Ikrar Tadbir Urus Baik, Prestasi Tinggi dan Penciptaan Nilai Fasa 2, di sini hari ini.
Mohamad Zainal berkata, polis turut tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu yang berselindung di sebalik operasi kedai serbaneka terbabit, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, beliau menafikan kejadian berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan atau geng tertentu.
“Bukan,” katanya ringkas.
Semalam, beliau memaklumkan polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam dua kejadian khianat menggunakan api dan balingan objek disyaki mengandungi bahan letupan membabitkan dua kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman.
Katanya, polis menerima dua laporan berhubung kejadian yang berlaku pada 20 September lalu, manakala pemilik premis lain yang turut menjadi sasaran tetapi masih belum membuat laporan polis dinasihatkan berbuat demikian dengan segera.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian mempunyai modus operandi yang hampir sama apabila dua lelaki bertopeng dan berpakaian gelap memasuki premis sebelum membaling objek yang dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar ke dalam kedai,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya tindakan itu menyebabkan letupan, kerosakan harta benda serta kebakaran dalam salah satu kejadian, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan.
PDRM Sarawak, katanya lagi, sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek, menganalisis bahan yang digunakan, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi perbuatan khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat memusnahkan rumah atau bangunan,” katanya.



